RENCANA
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)
BERHENTI kerja sementara atau cuti empat bulan atau berhenti terus? Itu adalah dilema wanita bekerja sebaik sahaja mengetahui dirinya hamil. Dan keadaan menjadi lebih rumit selepas seseorang wanita melahirkan anak dan terpaksa bekerja semula demi memenuhi tuntutan hidup.
Ketika itu timbullah masalah untuk mencari pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak yang boleh dipercayai. Begitu juga masalah untuk meninggalkan anak dengan pembantu rumah yang tidak diketahui ‘gred’ berapa. Untuk berhenti kerja bukanlah pilihan terbaik terutama kepada wanita yang turut menyumbang kepada ekonomi rumah tangga, apatah lagi dalam dunia yang serba mahal ini.
Lantas ada yang melihat bukankah lebih baik jika wanita bekerja diberi kelonggaran untuk berhenti sementara bagi memberi ruang serta peluang kepada mereka untuk membesarkan anak masing-masing. Selepas tempoh tertentu, wanita ini boleh kembali bekerja di tempat lama.
Atau wanita diberi cuti sekurang-kurangnya empat bulan dengan gaji penuh supaya proses penyusuan ibu dapat dilakukan dengan sempurna. Walaupun sepatutnya tempoh penyusuan yang sempurna adalah dua tahun.
Tidak kurang juga yang menokok tambah cadangan supaya mana-mana wanita yang bekerja hanya untuk suka-suka berhenti terus selepas melahirkan anak. Ini kerana bekerja atau tidak bekerja bagi wanita kategori ini sama sahaja.
Persoalannya perlukah wanita berhenti sementara atau cuti empat bulan atau berhenti terus semata-mata kerana ingin membesarkan anak-anak sedangkan pada masa yang sama ada tuntutan lain perlu dipenuhi?
Adakah wujud perbezaan kualiti anak-anak yang dijaga sepenuhnya oleh ibu yang tidak bekerja dengan mereka yang dibesarkan oleh pengasuh, pembantu rumah atau pusat jagaan kanak-kanak? (Mungkin ada kajian mengenainya dijalankan sebelum ini).
Jika diperhalusi, cadangan berhenti sementara hanya sesuai dilaksanakan untuk sektor tertentu sahaja. Bagi sektor perkilangan dan perguruan yang rata-ratanya didominasi oleh wanita, cadangan seumpama itu memberi kesan yang agak negatif.
Kita boleh bayangkan apa akan jadi pada sebuah sekolah yang mempunyai tiga orang guru wanita cuti bersalin serentak dan mengambil keputusan untuk berhenti sementara. Itu baru satu sekolah, jika sepuluh, 100 atau 1,000 sekolah yang terlibat, apa akan jadi kepada murid-murid?
Apa akan jadi juga kepada sekolah yang berkenaan serta prestasi peperiksaan mereka kelak?
Dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah kekurangan guru, cadangan ini jika dipersetujui kelak pasti menimbulkan masalah di sana sini sehingga boleh menjejaskan mutu pembelajaran di sesebuah sekolah.
Begitu juga dengan sektor perkilangan. Tidak mustahil wanita yang berhenti sementara untuk tempoh agak lama akan ditinggalkan oleh arus teknologi yang berkembang pesat sekarang ini.
*Cadangan
Apabila mereka kembali bekerja, proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilalui semula dan ia pastinya melibatkan kos selain menimbulkan masalah-masalah lain seperti pergerakan gaji yang agak pelik.
Hakikatnya banyak perkara yang mesti diambil kira sebelum cadangan seperti ini dapat dilaksanakan. Berapa lamakah yang dikatakan ‘sementara’, kriteria pekerja yang boleh berbuat demikian serta kesanggupan majikan mencari pekerja gantian mesti diperhalusi. Penetapan tempoh waktu itu penting bagi mengelak seseorang itu hilang sentuhan kemahiran serta ketinggalan dari segi kekananan bagi perjawatan.
Seperkara lagi, cadangan berhenti sementara jika dilaksanakan tidak mustahil akan memberi kesan kepada trend pengambilan pekerja di negara kita.
Majikan akan menjadi lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja wanita bagi mengelak timbulnya masalah seperti ini. Dalam erti kata yang lain, majikan tidak mahu berhadapan dengan dilema apabila pekerja wanita memohon berhenti sementara atau berehat selama empat bulan selepas melahirkan anak terutama bagi pekerja-pekerja baru.
Justeru sementara menunggu kajian ke atas cadangan tersebut dijalankan (tidak mustahil mengambil masa yang lama), bukankah lebih baik kita toleh semula cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini untuk menangani dilema kaum wanita.
Kita tentu belum lupa tuntutan pelaksanaan waktu bekerja anjal dan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memudahkan kaum wanita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Bukankah cadangan tersebut malah ada di antaranya yang telah menjadi arahan (seperti menyediakan pusat asuhan di tempat kerja) terlebih dahulu dikemukakan tetapi sehingga kini di pandang sepi oleh sesetengah majikan.
Kita mesti ingat cadangan berhenti sementara tidak akan menyelesaikan dilema wanita bekerja. Sekadar berhenti setahun atau dua tahun tidak akan membantu mengatasi masalah tersebut kerana wanita masih perlu memikirkan soal pengasuh, pusat jagaan kanak-kanak atau pembantu rumah apabila tempoh itu tamat.