Sunday, August 26, 2007

“Dirgahayu Indonesia”



Daripada: SOPHA SULAIMAN (JAKARTA)

JUMAAT lalu, Indonesia menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-62. Jika tahun lepas negara ini merayakan ulang tahun yang ke-61 dalam jerebu akibat kebakaran hutan yang menyelimuti sebahagian wilayah Nusantara, tahun ini sambutan itu dirayakan ketika nilai rupiah dan pasaran saham menjunam serta bencana alam di sana sini.

Namun demikian, semangat nasionalisme dan patritiosme yang ditunjukkan oleh rakyat tidak pernah pudar untuk memperingati hari merdeka walaupun di sebahagian wilayah masih digoncang gempa awal paginya dan ancaman gunung berapi. Sejak dua minggu sebelum perayaan, seluruh daerah dan pelosok desa, sang saka merah putih berkibar megah dan dihias dengan kata-kata partriotik.

Pelbagai acara rakyat berlangsung dengan meriah, daripada perarakan kebudayaan hingga pertandingan sukan rakyat melibatkan pelbagai kaum, etnik dan usia. Dari pemungut sampah, pesakit mental hingga, peniaga, selebriti dan pembesar negara tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam pelbagai acara. Orang yang paling gembira ialah para banduan. Seramai 63,000 banduan dikurangkan tempoh hukuman dan lebih 6,000 dimerdekakan.

Malam menjelang ulang tahun hari kemerdekaan, sebuah kafe di Pasar Festival, Kuningan nampak riuh-rendah dengan anak-anak muda yang minum-minum sambil bernyanyi. Tepat pukul 12 malam, pelayan-pelayan kafe bersama tetamu menyanyikan lagu Indonesia Raya, lagu kebangsaan negara sambil memberi tabik hormat. Mereka kemudian beramai-ramai menyanyi lagu partrotik seperti “Garuda Pancasila”.
Selepas bernyanyi mereka berteriak “merdeka, selagi merdeka tetap merdeka, bangun Indonesia!”.
Di masjid Istiqlal, Presiden bersama pembesar negara, ulama serta ribuan umat Islam berkumpul menghadiri upacara zikir bersama dan doa kesyukuran memohon doa restu Ilahi agar Indonesia terus makmur dan dijauhi malapetaka.

Esoknya pukul 10 pagi 17 Ogos, acara sambutan ulang tahun kemerdekaan dimulakan di pekarangan Istana Negara. Tembakan meriam 17 das (mengambil sempena tarikh 17 Ogos) menggegar sekitar Tugu Monumen Nasional (Monas), mercu tanda Jakarta sebelum acara menurun dan menaikkan bendera.

Di seluruh desa, beduk dan loceng gereja dibunyikan bagi memperingati hari kemerdekaan setelah terlepas belenggu penjajahan Belanda yang bertapak sekian lama di bumi Indonesia. Sambutan yang sama diadakan serentak di peringkat provinsi, kabupaten, kecamatan dan kelurahan.

Namun di sebalik kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan, masih ada cerita-cerita sedih dari dalam dan luar negara. Ada pembantu rumah yang mati dikatakan akibat didera majikan di Arab Saudi dan Malaysia, di sebalik kesenangan sebahagian besar mereka bekerja di negara orang.

Mereka telah mengirim wang yang banyak kepada negara hingga mengubah kehidupan ekonomi keluarga yang sebelumnya miskin.
Malah sebuah masjid besar di Brebes, Jawa Tengah yang dibina dengan indah adalah hasil sumbangan warga Indonesia yang bekerja di luar negara.
Di depan kedutaan besar Arab Saudi di Jakarta, para penunjuk perasaan dan anggota keluarga mangsa mengadakan majlis tahlil terhadap si mati untuk memprotes kekerasan terhadap tenaga kerja di luar negara.

Di sebahagian daerah di Pulau Jawa, kemarau mula melanda, menyukarkan petani menanam padi dan mendapatkan bekalan air. Anak-anak sekolah masih belajar di bawah pokok kerana tempat belajar mereka uzur dan roboh serta mendesak supaya persekolahan percuma. Namun yang menyentuh perasaan ialah pengorbanan dua wanita kembar mengajar anak-anak keluarga miskin yang tinggal di bawah jambatan di kota Jakarta secara percuma sejak sekian lama hingga ada anak-anak itu kini mampu menjadi penjawat kerajaan.

Dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-62 ini, ibu-ibu di luar kota masih berebut membeli minyak masak yang harganya semakin melambung selain menolak kempen pemerintah supaya menggantikan dapur minyak tanah dengan dapur gas.

Sebahagian besar rakyat masih miskin. Namun kesetiaan mereka pada negara tidak pernah pudar walaupun ramai di antaranya masih hidup menderita selepas dilanda pelbagai bencana alam.

– Mingguan

No comments: