PELBAGAI pihak terutama pertubuhan yang mewakili sektor pekerjaan di negara ini tidak bersetuju sekiranya pengambilan pekerja warga asing dikurangkan, malah berpendapat kemasukan warga asing secara sah perlu ditambah bagi menampung keperluan tenaga kerja di semua sektor utama.Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan adalah satu kemestian berikutan sikap rakyat tempatan sendiri yang tidak berminat dengan kerja berat seperti buruh kasar.
Beliau berkata, pandangan negatif rakyat tempatan yang menyifatkan pekerjaan dalam sektor pembinaan sebagai tidak menarik, kotor, bahaya, panas dan memenatkan menyebabkan industri itu terpaksa terus bergantung kepada pekerja luar yang lebih mahir dan produktif.“Rakyat Malaysia terlalu memilih. Nak bekerja hanya dalam suasana selesa dan berhawa dingin serta mesti mempunyai ruang pejabat yang ekslusif. Namun, mereka tidak sedar bahawa bekerja dalam sektor pembinaan kini memberi pendapatan agak tinggi dan mewah.
“Jika mereka mempunyai kemahiran tertentu, tidak mustahil pendapatan yang diperoleh setiap bulan boleh mencecah RM2,000 hingga RM3,000. Apa yang mereka tahu, pekerjaan di sektor pembinaan tidak menjamin masa depan dan sangkaan itu ternyata salah,” katanya.Beliau berkata, sektor pembinaan ketika ini sangat mengharapkan kemahiran daripada pekerja warga Indonesia kerana mereka dikatakan mampu bekerja kuat dan tahan dengan bebanan kerja yang berat.Hakikatnya kata beliau, sektor pembinaan sentiasa memberi peluang kepada pekerja tempatan tetapi sia-sia kerana mereka tidak berminat, malah kebanyakannya hanya berminat untuk melonjak menjadi kontraktor kecil.Justeru, beliau mencadangkan sektor pembinaan menyediakan gaji lebih tinggi seperti diamalkan beberapa negara maju bagi menarik minat di kalangan pekerja tempatan menyertainya, namun perlu diseimbangkan dengan produktiviti yang tinggi.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik, berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pelbagai projek pembangunan memerlukan penambahan pekerja asing yang lebih ramai bagi mengimbangi hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.Katanya, walaupun kerajaan bercadang menurunkan kadar kemasukan pekerja asing sebanyak 15 peratus menjelang 2015, hakikatnya tanpa pekerja warga asing, ekonomi Malaysia akan lumpuh dan negara akan sukar untuk maju.
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan pelbagai faktor sebelum melaksanakan pengurangan pekerja asing kerana beberapa sektor seperti pembinaan tidak sesuai untuk pekerja yang berumur 40 hingga 50 tahun, justeru perlu sentiasa ada kemasukan pekerja baru.Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera, Datuk Raja Nong Chik, berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kos buruh semakin meningkat sedangkan produktiviti pula semakin berkurangan dalam pelbagai sektor terutama pembuatan di negara ini.Beliau berkata, peningkatan dalam kos membayar gaji menyebabkan wujud persaingan sengit di kalangan pengilang dalam negara dengan luar negara kerana kos buruh pekerja luar negara adalah lebih rendah.
Senario ini menyebabkan banyak kilang terpaksa memberhentikan pekerja tempatan dan beralih kepada pekerja luar yang boleh digajikan secara kontrak berbanding rakyat negara ini yang lebih berminat dengan pekerjaan secara tetap.“Keadaan itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan bahawa pekerja luar lebih tinggi produktivitinya berbanding pekerja tempatan, malah mampu bekerja keras walaupun menerima gaji lebih kecil. Justeru, jika negara mahu kekal bersaing sebagai sebuah negara industri, pengambilan pekerja asing adalah satu kemestian,” katanya.Raja berkata, sekiranya kerajaan mahu menambahkan pekerja tempatan dalam sektor pembuatan, ia perlu dipastikan seiring dengan peningkatan produktiviti serta meningkatkan teknologi sedia ada.“Harus diingat, Dubai maju kerana mempunyai ramai buruh asing. Justeru, tidak dapat dinafikan mereka (pekerja asing) amat diperlukan untuk meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Presiden Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepely Dahalan, berkata permintaan terhadap pembantu rumah terutama pekerja dari Indonesia terus meningkat, sedangkan kemasukan pekerja dari negara itu semakin berkurangan akhir-akhir ini.“Secara purata, permintaan untuk pekerja pembantu rumah Indonesia adalah sebanyak 6,000 permohonan setiap bulan sedangkan sejak dua bulan ini pengambilan pembantu rumah dari negara itu hanya seramai 3,000 pekerja sebulan dan situasi ini sememangnya mendatangkan masalah kepada semua pihak.
“Situasi itu turut disebabkan faktor gaji pembantu rumah yang sangat rendah di negara ini, sekali gus mendorong pekerja warga Indonesia lebih suka memilih negara lain yang menjanjikan gaji empat angka berbanding hanya sekitar RM400 hingga RM500 sebulan di negara ini,” katanya.Beliau berkata, walaupun kos awal memohon pembantu rumah agak tinggi iaitu sekitar RM6,500, tetapi permintaan yang diterima setiap agensi semakin meningkat setiap bulan sekali gus membuktikan sektor itu masih memerlukan kemasukan lebih ramai pekerja asing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment