JUMAAT lalu, muka depan Utusan Malaysia melaporkan bahawa lebih 300,000 majikan di negara ini yang menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing bakal diwajibkan membayar premium insurans.
Polisi insurans itu meliputi perlindungan kes kematian, kemalangan dan pembiayaan hospital. Cadangan itu pastinya amat dialu-alukan memandangkan kes-kes penderaan ke atas pembantu rumah oleh majikan sering kali disiarkan media massa sejak kebelakangan ini.
Alangkah bertuah mereka kerana selepas ini nasib mereka semakin terbela. Persoalannya, pada pihak majikan, apakah jaminan pembantu rumah atau orang gaji yang mereka terima adalah seorang pekerja yang bertanggungjawab?
Saya berkata demikian berdasarkan pengalaman sendiri mempunyai tiga pembantu rumah warga Indonesia. Orang gaji pertama saya terima pada 2004 menerusi agensi dengan bayaran RM4,000. Bagaimanapun, tragedi tsunami di Aceh meragut nyawa salah seorang anaknya.
Ekoran kejadian tersebut, beliau sering termenung dan tidak boleh menumpukan langsung pada tugas-tugasnya.
Atas rasa simpati, saya menghantarnya pulang ke kampung setelah beliau berjanji akan pulang seminggu kemudian.
Namun, setelah seminggu, beliau tidak juga kembali. Saya terpaksa membatalkan permit kerja beliau dengan membayar penalti RM250 bagi mendapatkan orang gaji baru.
Saya cuba meminta pengganti daripada agensi tetapi mereka menyalahkan saya kerana membenarkan orang gaji pulang ke kampung. Orang gaji kedua saya peroleh beberapa bulan kemudian menerusi agensi yang sama dengan bayaran juga RM4,000.
Walaupun kerjanya tidak seberapa, saya terpaksa menerimanya demi menjaga tiga orang anak kerana saya dan suami bekerja. Selepas setahun, saya memperbaharui permit kerja beliau.
Sekali lagi malang menimpa, pemeriksaan kesihatan mendapati beliau menghidap hepatitis sejak tiga tahun lalu walhal laporan kesihatan di Indonesia mengesahkan beliau sihat tanpa sebarang penyakit. (Peraturan baru Jabatan Imigresen sekarang mewajibkan orang gaji menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia dan Indonesia bagi mendapat permit kerja).
Saya terpaksa membatalkan permit kerja dan menghantarnya pulang. Sekali lagi saya terpaksa mengeluarkan RM4,000 untuk mendapatkan khidmat orang gaji baru, kali ini daripada agensi berbeza. Orang gaji ketiga begitu rajin dan boleh diharap, tidak seperti dua orang sebelum ini. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.
Orang gaji ketiga melarikan diri Khamis lalu setelah setahun bekerja. Mujurlah ketika kejadian, saya dan suami masih belum keluar rumah untuk bekerja. Kalau tidak, entah apalah nasib anak-anak saya sekiranya kejadian berlaku semasa saya dan suami tiada di rumah.
Saya terpaksa membatalkan permit kerja beliau bagi mendapatkan orang gaji baru. Sekali lagi saya terpaksa membayar penalti RM250 dan RM4,000. Persoalan saya di sini, apakah hak majikan sekiranya orang gaji membuat ‘hal’?
Apakah tiada undang-undang yang membolehkan majikan menuntut ganti rugi sekiranya berdepan masalah seperti ini? Berpuluh ribu ringgit duit saya hilang begitu sahaja akibat ‘perbuatan’ mereka. Saya percaya ramai lagi majikan yang pernah menerima nasib seperti saya.
Justeru, saya memohon kerajaan membuat peraturan baru bagi melindungi hak majikan. Janganlah beruk di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.
– MAJIKAN MALANG,
Ampang, Selangor.
1 comment:
assalamualaikum...saya sendiri trauma dgn karenah maid.telah dilayan seperti keluarga sendiri,makan bersma,makanan suami atau saya yang masak bukan maid,cuma jaga anak seorang dan terkini baby dan si abang.tapi anak dicederakan pula.
namun kami percaya Allah SWT Maha adil.bagi sesiapa jua mungkin boleh terlepas di dunia namun di mahsyar,hari perhitungan...pasti akan tiba.
Post a Comment