Tuesday, August 28, 2007

'Kami tak maafkan dia'


Oleh Iskandar Shah Mohamed

SUBANG JAYA: "Bunga kami beri, najis yang dia balas. Kami tidak akan maafkan dia sampai bila-bila. Tunggu detik 'perhitungan' di Padang Mahsyar kelak," kata Norashikin Mohd Ali, 37.Dia tidak dapat menahan sebak apabila bayi kesayangannya mati semalam selepas lima hari koma, dipercayai akibat didera pembantu rumah. Pada 22 Ogos lalu, bayi berkenaan, Mohd Naim Almazaadi yang berusia 11 bulan, terlantar dipercayai akibat didera berdasarkan kesan lebam pada badan dan cedera di kepala di rumahnya di Putera Height, di sini.Bayi itu dikejarkan ke sebuah pusat rawatan di sini, jam 4 petang selepas pembantu rumah warga Indonesia terbabit mendapati dia tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan awal doktor menemui kesan lebam dan bengkak di kepala bayi itu sebelum menghubungi polis. Berikutan itu, pembantu rumah berusia 32 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan bayi berkenaan.Difahamkan, ahli keluarga Mohd Naim menerima panggilan daripada pembantu rumah itu jam 1 tengah hari, memberitahu bayi berkenaan terkena sawan.Selepas lima hari bertarung nyawa dengan menggunakan mesin sokongan pernafasan, bayi malang yang juga anak bongsu pasangan berkenaan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), kira-kira jam 1 pagi semalam.

Norashikin berkata, sebelum ini dia dan suami serta saudara-mara menganggap pembantu rumah yang digelar 'Bibik' itu seperti ahli keluarga sendiri dan melayannya dengan baik. "Sejak mengambilnya bekerja Mei lalu, kami tak pernah berkasar dan sentiasa melayannya seperti saudara sendiri. Malah, kami mempercayainya dan menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada dia untuk menjaga anak-anak kami."Selain itu, kami tidak melayan dia (Bibik) seperti pembantu rumah lain yang kebiasaannya melakukan segala kerja rumah. Saya hanya menyuruhnya menghidangkan makanan yang saya masak di atas meja makan.

"Bagaimanapun, segala kepercayaan kami musnah selepas dia tergamak melakukan penderaan terhadap bayi saya yang tidak berdosa itu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini, semalam.Jenazah Mohd Naim dituntut jam 11.40 pagi di Hospital Serdang sebelum disembahyangkan di Masjid Al-Falaq, USJ9 dan dikebumikan.

Menurut Norashikin, dia turut terkejut apabila anak keduanya, Mohd Naufal, 4, mendakwa Bibik pernah mengurungnya dalam stor rumah, selain menarik telinga dengan kuat, kononnya sebagai 'denda' kerana melakukan kesalahan kecil seperti tidak menyiapkan kerja sekolah."Pengakuan itu dibuat Naufal selepas disoal bapa saudara dan saudara-mara terdekat sejurus selepas kejadian menimpa Mohd Naim. Ia tentunya memeranjatkan kami sekeluarga," katanya.Ditanya sama ada akan mengambil pembantu rumah warga Indonesia lagi selepas itu, Norashikin berkata, dia akan berfikir ratusan kali kerana bimbang perkara sama berulang."Sebelum ini, kami pernah mengupah dua pembantu rumah juga warga Indonesia.

Bagaimanapun, kedua-duanya menimbulkan masalah termasuk melarikan diri dan mencuri wang serta barang keperluan rumah," katanya. Sehubungan itu, dia berharap pembantu rumah 'kejam' berkenaan diadili dan dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya. Seorang ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka pembantu rumah yang dianggap baik itu pada hakikatnya tidak berperikemanusiaan."Selepas bayi berkenaan dimasukkan ke SJMC minggu lalu, pembantu rumah terbabit berkelakuan aneh dan seolah-olah menggelabah kerana sering kali meminta ubat penahan sakit dan mengadu sakit kepala."Apabila ditanya punca bayi itu koma, dia memutarbelitkan fakta dengan memberi pelbagai alasan termasuk kononnya bayi itu terjatuh dari tangga dan rak televisyen," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.Menurutnya, kes itu sebelum ini hanya disiasat mengikut Seksyen 311 (A) Akta Kanak-Kanak atas kesalahan melakukan penderaan.Khalid berkata, hasil siasatan awal mendapati beberapa kesan cubitan ditemui pada kaki serta tangan selain kesan cekik di leher termasuk kecederaan di kepala bayi berkenaan dipercayai akibat dipukul.

No comments: