Thursday, August 16, 2007

Cabul hak asasi: 148 amah diselamat

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG 15 Ogos – Tenaganita dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 148 pembantu rumah warganegara Indonesia membabitkan pelbagai kes pencabulan hak asasi manusia seperti rogol dan penderaan sejak tahun 2005.

Koordinator Program Tenaganita, Aegile Fernandez berkata, kesemua mereka diselamatkan melalui panggilan telefon ke Talian Tindakan Pembantu Rumah yang mula diperkenalkan pada Julai 2004.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun itu juga, pihaknya menerima lebih 1,050 panggilan membabitkan pelbagai kes pencabulan hak asasi manusia dan lebih 200 kes dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang.

“Sekurang-kurangnya enam hingga tujuh pencabulan direkodkan untuk satu kes tetapi jumlah tersebut boleh mencecah sehingga 10 pencabulan dalam kes yang lebih serius dilaporkan.
“Kes pencabulan yang sering dilaporkan membabitkan penderaan, gaji tidak dibayar, tidak diberi makanan dan tempat tinggal dan ada juga terpaksa membuat dua kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program latihan untuk pegawai penyiasat polis mengenai pembantu rumah warga asing di sini hari ini.
Tambahnya, lebih 70 peratus daripada jumlah kes direkodkan berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam proses rujukan polis kepada Pejabat Peguam Negara.
Jelasnya lagi, pengambilan remaja berusia 15 tahun untuk bekerja sebagai pembantu rumah juga semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Kesalahan itu boleh diklasifikasikan sebagai penyeludupan manusia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fernandez memberitahu, Malaysia merupakan negara terbesar menerima kemasukan pembantu rumah di Asia dengan lebih 400,000 kemasukan didaftarkan.
Ujar beliau, daripada jumlah tersebut, 90 peratus iaitu 360,000 pembantu rumah merupakan wanita rakyat Indonesia.

Dalam pada itu beliau berkata, objektif program tersebut adalah untuk mengukuhkan penyiasatan melalui perspektif jantina dan juga untuk memahami hak-hak wanita.
“Kami melihat secara positif dan merasakan adalah penting untuk pegawai penyiasat lebih peka dalam menjalankan siasatan membabitkan kes-kes seumpama itu kerana pembantu rumah sering berdepan pelbagai ancaman.

“Program yang sama telah dianjurkan di Kuala Lumpur pada 16 November tahun lalu dan lebih 50 pegawai penyiasat dari Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis mengikuti latihan pada hari ini,” katanya.
Fernandez berkata, mereka yang ingin membuat laporan mengenai kes-kes seumpama itu boleh menghubungi Talian Tindakan Pembantu Rumah di 012-3350512, 012-3395 350 atau 03-26973671.

No comments: