Monday, July 23, 2007

Syor latih amah warga tempatan belum sesuai


KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk melatih penduduk tempatan menjadi pembantu rumah bagi menggantikan rakyat asing, masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini walaupun ia bertujuan baik.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan terlebih dulu sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil.Katanya, kajian awal persatuan itu sebelum ini mendapati aspek gaji adalah antara perkara utama perlu diselesaikan awal selain isu sosial lain seperti perkauman, agama atau kerukunan rumah tangga majikan.
“Saya hendak bertanya, berapa ramai majikan di negara sanggup membayar gaji minimum sehingga RM900 sebulan kepada pembantu rumah tempatan, berbanding hanya RM400 bagi tenaga kerja asing ketika ini? “Kalau majikan sanggup, Papa tidak ada masalah menyokong. Bagaimanapun, melihat kepada situasi ketika ini, kebanyakan majikan hanya sanggup membayar antara RM400 hingga RM600 sebulan.
“Bayangkan kalau RM900, berapa ramai yang sanggup? Itu tidak termasuk kos penginapan, perubatan dan makan minum yang lazimnya termasuk dalam pakej pengambilan tenaga kerja ini,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar yang meminta sektor swasta di negara ini mengambil inisiatif menyediakan pusat latihan pembantu rumah untuk warga tempatan.
Bercakap dalam satu majlis di Petaling Jaya, Khamis lalu, beliau dilaporkan berkata kementeriannya sedia menyediakan modul dan tenaga pengajar bagi tujuan itu.Cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan rakyat negara ini mengisi keperluan lebih 100,000 pembantu rumah di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).Pada ketika ini terdapat kira-kira 310,000 tenaga kerja pembantu rumah asing sedang berkhidmat di negara ini dan lebih 90 peratus daripadanya adalah warga Indonesia.
Raja Zulkepley berkata, pada masa ini, hampir 80 peratus daripada majikan yang berdaftar mendapatkan pembantu rumah dengan agensi di Malaysia adalah berketurunan Cina.“Berdasarkan pengamatan Papa, kebanyakan yang mungkin berminat menyertai kerjaya ini pula adalah keturunan Melayu. Sudah pasti akan timbul pelbagai implikasi negatif jika mereka dihantar kepada majikan yang berlainan agama.“Malah, kebimbangan juga timbul, jika pembantu rumah tempatan yang dilatih ini masih berusia belasan tahun mungkin boleh menyumbang kepada masalah kerukunan rumah tangga majikan selain wujud kes melarikan diri,” katanya.
Bagi membendung masalah kekurangan tenaga kerja ini, Raja Zulkepley mencadangkan supaya Kementerian Sumber Manusia mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Indonesia bagi melatih pembantu rumah dari negara berkenaan.Katanya, ketika ini terdapat kesukaran bagi mendapatkan tenaga kerja dari negara itu yang benar-benar terlatih atau memenuhi kehendak majikan dan agensi pembekal.

No comments: