Thursday, August 16, 2007

Suami, pembantu rumah ditahan

Oleh Nazarali Saeril

KLANG: Penahanan dua pembantu rumah warga Indonesia serta seorang pengurus kilang berusia 42 tahun dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan kelar di leher, dalam bilik di rumahnya di Taman Bayu Perdana, di sini, petang kelmarin.Kedua-dua pembantu rumah berusia lingkungan 20-an itu, seorang bekerja dengan mangsa manakala seorang lagi bertugas untuk jiran mangsa, ditahan polis tidak lama selepas kejadian ngeri terbabit.Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Rodwan Mohd Yusuf, berkata pihaknya turut menahan pengurus kilang yang juga suami mangsa untuk membantu siasatan.“Setakat ini, polis masih menumpukan usaha soal siasat terhadap ketiga-tiga individu terbabit.

“Dalam masa sama, polis juga masih cuba mengesan senjata digunakan dalam pembunuhan. Tiada suspek lain yang diburu,” katanya di sini, semalam.Mangsa berusia 41 tahun, ditemui mati dalam keadaan separuh bogel selain kesan kelar di leher. Wanita yang mempunyai tiga anak itu dipercayai dirogol sebelum dibunuh dalam kejadian kira-kira pada jam 3 petang.Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, digantung sampai mati mandatori.Ketiga-tiga individu terbabit sudah dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistert Klang, semalam.

Laksana cadangan lama dapat atasi dilema wanita bekerja

RENCANA


Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

BERHENTI kerja sementara atau cuti empat bulan atau berhenti terus? Itu adalah dilema wanita bekerja sebaik sahaja mengetahui dirinya hamil. Dan keadaan menjadi lebih rumit selepas seseorang wanita melahirkan anak dan terpaksa bekerja semula demi memenuhi tuntutan hidup.

Ketika itu timbullah masalah untuk mencari pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak yang boleh dipercayai. Begitu juga masalah untuk meninggalkan anak dengan pembantu rumah yang tidak diketahui ‘gred’ berapa. Untuk berhenti kerja bukanlah pilihan terbaik terutama kepada wanita yang turut menyumbang kepada ekonomi rumah tangga, apatah lagi dalam dunia yang serba mahal ini.

Lantas ada yang melihat bukankah lebih baik jika wanita bekerja diberi kelonggaran untuk berhenti sementara bagi memberi ruang serta peluang kepada mereka untuk membesarkan anak masing-masing. Selepas tempoh tertentu, wanita ini boleh kembali bekerja di tempat lama.
Atau wanita diberi cuti sekurang-kurangnya empat bulan dengan gaji penuh supaya proses penyusuan ibu dapat dilakukan dengan sempurna. Walaupun sepatutnya tempoh penyusuan yang sempurna adalah dua tahun.

Tidak kurang juga yang menokok tambah cadangan supaya mana-mana wanita yang bekerja hanya untuk suka-suka berhenti terus selepas melahirkan anak. Ini kerana bekerja atau tidak bekerja bagi wanita kategori ini sama sahaja.

Persoalannya perlukah wanita berhenti sementara atau cuti empat bulan atau berhenti terus semata-mata kerana ingin membesarkan anak-anak sedangkan pada masa yang sama ada tuntutan lain perlu dipenuhi?
Adakah wujud perbezaan kualiti anak-anak yang dijaga sepenuhnya oleh ibu yang tidak bekerja dengan mereka yang dibesarkan oleh pengasuh, pembantu rumah atau pusat jagaan kanak-kanak? (Mungkin ada kajian mengenainya dijalankan sebelum ini).

Jika diperhalusi, cadangan berhenti sementara hanya sesuai dilaksanakan untuk sektor tertentu sahaja. Bagi sektor perkilangan dan perguruan yang rata-ratanya didominasi oleh wanita, cadangan seumpama itu memberi kesan yang agak negatif.

Kita boleh bayangkan apa akan jadi pada sebuah sekolah yang mempunyai tiga orang guru wanita cuti bersalin serentak dan mengambil keputusan untuk berhenti sementara. Itu baru satu sekolah, jika sepuluh, 100 atau 1,000 sekolah yang terlibat, apa akan jadi kepada murid-murid?

Apa akan jadi juga kepada sekolah yang berkenaan serta prestasi peperiksaan mereka kelak?
Dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah kekurangan guru, cadangan ini jika dipersetujui kelak pasti menimbulkan masalah di sana sini sehingga boleh menjejaskan mutu pembelajaran di sesebuah sekolah.
Begitu juga dengan sektor perkilangan. Tidak mustahil wanita yang berhenti sementara untuk tempoh agak lama akan ditinggalkan oleh arus teknologi yang berkembang pesat sekarang ini.

*Cadangan

Apabila mereka kembali bekerja, proses pengajaran dan pembelajaran perlu dilalui semula dan ia pastinya melibatkan kos selain menimbulkan masalah-masalah lain seperti pergerakan gaji yang agak pelik.

Hakikatnya banyak perkara yang mesti diambil kira sebelum cadangan seperti ini dapat dilaksanakan. Berapa lamakah yang dikatakan ‘sementara’, kriteria pekerja yang boleh berbuat demikian serta kesanggupan majikan mencari pekerja gantian mesti diperhalusi. Penetapan tempoh waktu itu penting bagi mengelak seseorang itu hilang sentuhan kemahiran serta ketinggalan dari segi kekananan bagi perjawatan.
Seperkara lagi, cadangan berhenti sementara jika dilaksanakan tidak mustahil akan memberi kesan kepada trend pengambilan pekerja di negara kita.

Majikan akan menjadi lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja wanita bagi mengelak timbulnya masalah seperti ini. Dalam erti kata yang lain, majikan tidak mahu berhadapan dengan dilema apabila pekerja wanita memohon berhenti sementara atau berehat selama empat bulan selepas melahirkan anak terutama bagi pekerja-pekerja baru.

Justeru sementara menunggu kajian ke atas cadangan tersebut dijalankan (tidak mustahil mengambil masa yang lama), bukankah lebih baik kita toleh semula cadangan-cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini untuk menangani dilema kaum wanita.

Kita tentu belum lupa tuntutan pelaksanaan waktu bekerja anjal dan penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memudahkan kaum wanita menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Bukankah cadangan tersebut malah ada di antaranya yang telah menjadi arahan (seperti menyediakan pusat asuhan di tempat kerja) terlebih dahulu dikemukakan tetapi sehingga kini di pandang sepi oleh sesetengah majikan.

Kita mesti ingat cadangan berhenti sementara tidak akan menyelesaikan dilema wanita bekerja. Sekadar berhenti setahun atau dua tahun tidak akan membantu mengatasi masalah tersebut kerana wanita masih perlu memikirkan soal pengasuh, pusat jagaan kanak-kanak atau pembantu rumah apabila tempoh itu tamat.

Cabul hak asasi: 148 amah diselamat

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG 15 Ogos – Tenaganita dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 148 pembantu rumah warganegara Indonesia membabitkan pelbagai kes pencabulan hak asasi manusia seperti rogol dan penderaan sejak tahun 2005.

Koordinator Program Tenaganita, Aegile Fernandez berkata, kesemua mereka diselamatkan melalui panggilan telefon ke Talian Tindakan Pembantu Rumah yang mula diperkenalkan pada Julai 2004.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun itu juga, pihaknya menerima lebih 1,050 panggilan membabitkan pelbagai kes pencabulan hak asasi manusia dan lebih 200 kes dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang.

“Sekurang-kurangnya enam hingga tujuh pencabulan direkodkan untuk satu kes tetapi jumlah tersebut boleh mencecah sehingga 10 pencabulan dalam kes yang lebih serius dilaporkan.
“Kes pencabulan yang sering dilaporkan membabitkan penderaan, gaji tidak dibayar, tidak diberi makanan dan tempat tinggal dan ada juga terpaksa membuat dua kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program latihan untuk pegawai penyiasat polis mengenai pembantu rumah warga asing di sini hari ini.
Tambahnya, lebih 70 peratus daripada jumlah kes direkodkan berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam proses rujukan polis kepada Pejabat Peguam Negara.
Jelasnya lagi, pengambilan remaja berusia 15 tahun untuk bekerja sebagai pembantu rumah juga semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Kesalahan itu boleh diklasifikasikan sebagai penyeludupan manusia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fernandez memberitahu, Malaysia merupakan negara terbesar menerima kemasukan pembantu rumah di Asia dengan lebih 400,000 kemasukan didaftarkan.
Ujar beliau, daripada jumlah tersebut, 90 peratus iaitu 360,000 pembantu rumah merupakan wanita rakyat Indonesia.

Dalam pada itu beliau berkata, objektif program tersebut adalah untuk mengukuhkan penyiasatan melalui perspektif jantina dan juga untuk memahami hak-hak wanita.
“Kami melihat secara positif dan merasakan adalah penting untuk pegawai penyiasat lebih peka dalam menjalankan siasatan membabitkan kes-kes seumpama itu kerana pembantu rumah sering berdepan pelbagai ancaman.

“Program yang sama telah dianjurkan di Kuala Lumpur pada 16 November tahun lalu dan lebih 50 pegawai penyiasat dari Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis mengikuti latihan pada hari ini,” katanya.
Fernandez berkata, mereka yang ingin membuat laporan mengenai kes-kes seumpama itu boleh menghubungi Talian Tindakan Pembantu Rumah di 012-3350512, 012-3395 350 atau 03-26973671.

Amah maut didera



Oleh SYED M. RIDZUWAN SYED ISMAIL

SUBANG JAYA 15 Ogos – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa penderaan ditemui mati di sebuah rumah teres dua tingkat di Puchong Perdana, pukul 7 malam tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Kunasir, 24, dan berasal dari Jawa Tengah, Indonesia dijumpai mati dengan tanda-tanda lebam pada bahagian leher dan belakang badan.

Polis yang mengklasifikasikan kes berkenaan berunsur jenayah kini menjalankan siasatan terhadap pasangan suami isteri berusia 30-an yang merupakan majikan mangsa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, suami isteri itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun jelasnya, polis menahan majikan lelaki amah tersebut kira-kira pukul 3 petang ini untuk siasatan.
Sementara itu, seorang ejen yang tidak mahu dikenali berkata, Kunasir datang ke negara ini empat bulan lalu.
Katanya, pasangan suami isteri terbabit merupakan majikan pertamanya.

‘‘Kunasir telah berumahtangga dan mempunyai seorang anak di Indonesia,’’ ujarnya yang bertanggungjawab mencari majikan untuk mangsa.

Mayat mangsa kini disimpan di Rumah Mayat Hospital Serdang sebelum dihantar pulang ke kampung halamannya.

Tuesday, August 14, 2007

Majikan mahu kemasukan secara sah ditambah

PELBAGAI pihak terutama pertubuhan yang mewakili sektor pekerjaan di negara ini tidak bersetuju sekiranya pengambilan pekerja warga asing dikurangkan, malah berpendapat kemasukan warga asing secara sah perlu ditambah bagi menampung keperluan tenaga kerja di semua sektor utama.Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan adalah satu kemestian berikutan sikap rakyat tempatan sendiri yang tidak berminat dengan kerja berat seperti buruh kasar.

Beliau berkata, pandangan negatif rakyat tempatan yang menyifatkan pekerjaan dalam sektor pembinaan sebagai tidak menarik, kotor, bahaya, panas dan memenatkan menyebabkan industri itu terpaksa terus bergantung kepada pekerja luar yang lebih mahir dan produktif.“Rakyat Malaysia terlalu memilih. Nak bekerja hanya dalam suasana selesa dan berhawa dingin serta mesti mempunyai ruang pejabat yang ekslusif. Namun, mereka tidak sedar bahawa bekerja dalam sektor pembinaan kini memberi pendapatan agak tinggi dan mewah.

“Jika mereka mempunyai kemahiran tertentu, tidak mustahil pendapatan yang diperoleh setiap bulan boleh mencecah RM2,000 hingga RM3,000. Apa yang mereka tahu, pekerjaan di sektor pembinaan tidak menjamin masa depan dan sangkaan itu ternyata salah,” katanya.Beliau berkata, sektor pembinaan ketika ini sangat mengharapkan kemahiran daripada pekerja warga Indonesia kerana mereka dikatakan mampu bekerja kuat dan tahan dengan bebanan kerja yang berat.Hakikatnya kata beliau, sektor pembinaan sentiasa memberi peluang kepada pekerja tempatan tetapi sia-sia kerana mereka tidak berminat, malah kebanyakannya hanya berminat untuk melonjak menjadi kontraktor kecil.Justeru, beliau mencadangkan sektor pembinaan menyediakan gaji lebih tinggi seperti diamalkan beberapa negara maju bagi menarik minat di kalangan pekerja tempatan menyertainya, namun perlu diseimbangkan dengan produktiviti yang tinggi.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Roslan Awang Chik, berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pelbagai projek pembangunan memerlukan penambahan pekerja asing yang lebih ramai bagi mengimbangi hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.Katanya, walaupun kerajaan bercadang menurunkan kadar kemasukan pekerja asing sebanyak 15 peratus menjelang 2015, hakikatnya tanpa pekerja warga asing, ekonomi Malaysia akan lumpuh dan negara akan sukar untuk maju.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan pelbagai faktor sebelum melaksanakan pengurangan pekerja asing kerana beberapa sektor seperti pembinaan tidak sesuai untuk pekerja yang berumur 40 hingga 50 tahun, justeru perlu sentiasa ada kemasukan pekerja baru.Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera, Datuk Raja Nong Chik, berkata semua pihak perlu menerima hakikat bahawa kos buruh semakin meningkat sedangkan produktiviti pula semakin berkurangan dalam pelbagai sektor terutama pembuatan di negara ini.Beliau berkata, peningkatan dalam kos membayar gaji menyebabkan wujud persaingan sengit di kalangan pengilang dalam negara dengan luar negara kerana kos buruh pekerja luar negara adalah lebih rendah.

Senario ini menyebabkan banyak kilang terpaksa memberhentikan pekerja tempatan dan beralih kepada pekerja luar yang boleh digajikan secara kontrak berbanding rakyat negara ini yang lebih berminat dengan pekerjaan secara tetap.“Keadaan itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan bahawa pekerja luar lebih tinggi produktivitinya berbanding pekerja tempatan, malah mampu bekerja keras walaupun menerima gaji lebih kecil. Justeru, jika negara mahu kekal bersaing sebagai sebuah negara industri, pengambilan pekerja asing adalah satu kemestian,” katanya.Raja berkata, sekiranya kerajaan mahu menambahkan pekerja tempatan dalam sektor pembuatan, ia perlu dipastikan seiring dengan peningkatan produktiviti serta meningkatkan teknologi sedia ada.“Harus diingat, Dubai maju kerana mempunyai ramai buruh asing. Justeru, tidak dapat dinafikan mereka (pekerja asing) amat diperlukan untuk meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Presiden Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepely Dahalan, berkata permintaan terhadap pembantu rumah terutama pekerja dari Indonesia terus meningkat, sedangkan kemasukan pekerja dari negara itu semakin berkurangan akhir-akhir ini.“Secara purata, permintaan untuk pekerja pembantu rumah Indonesia adalah sebanyak 6,000 permohonan setiap bulan sedangkan sejak dua bulan ini pengambilan pembantu rumah dari negara itu hanya seramai 3,000 pekerja sebulan dan situasi ini sememangnya mendatangkan masalah kepada semua pihak.

“Situasi itu turut disebabkan faktor gaji pembantu rumah yang sangat rendah di negara ini, sekali gus mendorong pekerja warga Indonesia lebih suka memilih negara lain yang menjanjikan gaji empat angka berbanding hanya sekitar RM400 hingga RM500 sebulan di negara ini,” katanya.Beliau berkata, walaupun kos awal memohon pembantu rumah agak tinggi iaitu sekitar RM6,500, tetapi permintaan yang diterima setiap agensi semakin meningkat setiap bulan sekali gus membuktikan sektor itu masih memerlukan kemasukan lebih ramai pekerja asing.

Monday, July 23, 2007

4-month wait for maid



WHERE is my maid?FAUZIAH, of Subang Jaya, has been waiting for four months after paying a maid agency RM6,000 in February.


“I was promised a new maid by March, before my maid returns to Indonesia when her work permit expires,” she says.After waiting for two months, FAUZIAH felt something was amiss as there was no feedback from the agency.


FAUZIAH claims the agenT cooked up excuses each time she asked for an explanation for the delay.“The agent said the maid was not well so they had to look for a new one. “Why can’t they just send me a new maid as a replacement?”


THE owner of Agensi Pekerjaan Baduri Sdn Bhd, who declined to be identified, denies the agency is making excuses to justify the delay.“We hope FAUZIAH can be patient because my agency has to go through numerous procedures and it's time-consuming.“We will do our best to bring the maid in by this month.”

Syor latih amah warga tempatan belum sesuai


KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk melatih penduduk tempatan menjadi pembantu rumah bagi menggantikan rakyat asing, masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini walaupun ia bertujuan baik.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan terlebih dulu sebelum sebarang keputusan mengenainya diambil.Katanya, kajian awal persatuan itu sebelum ini mendapati aspek gaji adalah antara perkara utama perlu diselesaikan awal selain isu sosial lain seperti perkauman, agama atau kerukunan rumah tangga majikan.
“Saya hendak bertanya, berapa ramai majikan di negara sanggup membayar gaji minimum sehingga RM900 sebulan kepada pembantu rumah tempatan, berbanding hanya RM400 bagi tenaga kerja asing ketika ini? “Kalau majikan sanggup, Papa tidak ada masalah menyokong. Bagaimanapun, melihat kepada situasi ketika ini, kebanyakan majikan hanya sanggup membayar antara RM400 hingga RM600 sebulan.
“Bayangkan kalau RM900, berapa ramai yang sanggup? Itu tidak termasuk kos penginapan, perubatan dan makan minum yang lazimnya termasuk dalam pakej pengambilan tenaga kerja ini,” katanya kepada Berita Minggu, semalam.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar yang meminta sektor swasta di negara ini mengambil inisiatif menyediakan pusat latihan pembantu rumah untuk warga tempatan.
Bercakap dalam satu majlis di Petaling Jaya, Khamis lalu, beliau dilaporkan berkata kementeriannya sedia menyediakan modul dan tenaga pengajar bagi tujuan itu.Cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan rakyat negara ini mengisi keperluan lebih 100,000 pembantu rumah di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).Pada ketika ini terdapat kira-kira 310,000 tenaga kerja pembantu rumah asing sedang berkhidmat di negara ini dan lebih 90 peratus daripadanya adalah warga Indonesia.
Raja Zulkepley berkata, pada masa ini, hampir 80 peratus daripada majikan yang berdaftar mendapatkan pembantu rumah dengan agensi di Malaysia adalah berketurunan Cina.“Berdasarkan pengamatan Papa, kebanyakan yang mungkin berminat menyertai kerjaya ini pula adalah keturunan Melayu. Sudah pasti akan timbul pelbagai implikasi negatif jika mereka dihantar kepada majikan yang berlainan agama.“Malah, kebimbangan juga timbul, jika pembantu rumah tempatan yang dilatih ini masih berusia belasan tahun mungkin boleh menyumbang kepada masalah kerukunan rumah tangga majikan selain wujud kes melarikan diri,” katanya.
Bagi membendung masalah kekurangan tenaga kerja ini, Raja Zulkepley mencadangkan supaya Kementerian Sumber Manusia mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Indonesia bagi melatih pembantu rumah dari negara berkenaan.Katanya, ketika ini terdapat kesukaran bagi mendapatkan tenaga kerja dari negara itu yang benar-benar terlatih atau memenuhi kehendak majikan dan agensi pembekal.