Wednesday, September 19, 2007

Dera anak majikan







Oleh Mohd Sabran Md Sani

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mendera anak majikannya berusia tiga tahun di sebuah kondominium di sini, pada 28 Ogos lalu.

Reni Neken, 27, dari Kupang, Indonesia, didakwa mendera Goh Ceng Yee, dengan menendang, memijak dan menolak mangsa di ruang tamu kediaman ibu bapanya yang juga majikan tertuduh di No A2-27-08, Putramas 2 Condo, Jalan Kuching.Tertuduh yang berkhidmat sebagai pembantu rumah sejak 23 Mac lalu, didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 3.25 petang hingga 3.40 petang, pada 28 Ogos lalu.

Reni didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan serta dihukum mengikut seksyen sama.

Wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit, sebelum Majistret Azniza Mohd Ali menetapkan 2 November depan untuk menjatuhkan hukuman serta mendengar fakta kes atas pertuduhan disabitkan.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Muhammad Mohd Jais.Sementara itu dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan berikutan tertuduh adalah warga asing.Bagaimanapun Reni yang tidak diwakili peguam bela memohon jasa baik mahkamah supaya memaklumkan perkara itu kepada agensi pekerjaannya di negara ini."Agensi pekerjaan saya harus tahu mengenai perkara ini. Dia tidak tahu masalah saya dan tidak ada orang yang mahu jamin saya pada hari ini (semalam)," katanya dalam rayuan di hadapan Azniza.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia dikatakan berlagak samseng apabila kerap membelasah serta memukul dua anak majikannya ketika ibu bapa mangsa keluar bekerja pada siang hari.Tindakan tidak berperikemanusiaan pembantu rumah terbabit disedari ibu bapa kanak-kanak terbabit selepas anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun sering mengadu sakit pada badan dan perut.

Kejadian itu yang kerap kali berlaku menyebabkan majikan terbabit secara sulit memasang kamera web pada komputer untuk merakam gerak-geri pembantu rumah terbabit ketika ketiadaannya di rumah.

Pasangan suami isteri terbabit yang berusia 29 dan 26 tahun terkejut apabila rakaman pada kamera web menunjukkan pembantu rumah itu mendera dan memukul anak mereka sesuka hati.Pembantu rumah itu didakwa turut memukul seorang lagi anak lelaki mangsa yang berusia setahun dan perkara itu terbongkar apabila majikan terbabit terserempak dengan tindakan ganas pembantu rumahnya ketika pulang mengejut pada tengah hari untuk meninjau keadaan anaknya.

Tertuduh juga sebelum ini pernah nekad menyabung nyawa menuruni tingkat 16 kondominium sama dengan mengikat beberapa pakaiannya untuk dijadikan tali dalam cubaan melarikan diri daripada majikannya.Tindakan tertuduh itu hampir memerangkap diri apabila 'tali' dibuatnya menggunakan semua pakaiannya serta tuala, selimut dan pakaian dalam hampir putus sebelum dia panik dan tergantung di celah bangunan pada tingkat 13 kondominium setinggi 30 tingkat itu.

Kejadian itu bagaimanapun disedari orang ramai yang ada di tempat kejadian sebelum memaklumkan ahli persatuan bomba sukarela Wilayah Persekutuan yang kebetulan memberi ceramah di kawasan terbabit.Mangsa kemudian diselamatkan dengan menggunakan tali sebelum dibawa masuk melalui tingkap rumah di tingkat 12 kondominium berkenaan.

2 comments:

Selly... Selly... said...

How bout Goh Ceng yeh now? Is She ok? Im verry sad after wathing the video.

John Letoye said...

yeah.. I'd like to know how's Goh Ceng yee now, has she recovered physically and physiologically ?

almost every idle time goh ceng yee came into my mind and made me very sad when I think about her, poor little girl. If she all right that would make be feel peaceful.