Oleh NORLIZAH ABAS
KUALA LUMPUR 18 Jun – Percayakah anda bahawa Malaysia menjadi ‘tempat lambakan’ pembantu rumah berkualiti rendah atau dikategorikan sebagai kelas ‘E’ - kurang cerdik, tidak menarik, kurang cekap dan gagal berkomunikasi dengan baik.
Sebaliknya, gadis-gadis pembantu rumah yang cantik, bertubuh menarik, boleh berbahasa Inggeris serta membaca dan menulis, dihantar ke negara yang menawarkan gaji lumayan seperti Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Timur Tengah.
Presiden Persatuan Agensi Pekerja Asing (PAPA), Datuk Raja Zulkepley Dahalan mendakwa, pekerja-pekerja kelas E itulah yang banyak menimbulkan masalah kepada majikan.
‘‘Mereka inilah yang gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dalam tempoh yang singkat sehingga memberi tekanan kepada majikan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun mereka telah menjalani kursus di pusat latihan di Indonesia selama sebulan diikuti aktiviti suai kenal melibatkan latihan bertutur di sini selama beberapa hari, mereka masih gagal memberikan khidmat terbaik.
‘‘Majikan kerap menghadapi masalah kerana pembantu rumah yang diperoleh gagal melaksanakan tugas dengan baik.
‘‘Ekoran masalah komunikasi dan budaya yang berbeza, lain yang disuruh lain yang dibuat selain mengulangi kesalahan serupa dan akhirnya menimbulkan kemarahan majikan,’’ ujar beliau.
Raja Zulkepley mengulas kejadian dera yang sering menimpa pembantu rumah asing terutama dari Indonesia sehingga ada yang sanggup membahayakan diri untuk melarikan diri.
Kejadian terbaru melibatkan seorang wanita Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an dikenali sebagai Samerin yang nekad melarikan diri dari rumah majikannya sejak empat bulan lalu.
Mengulas lanjut, Raja Zulkepley berkata, sehingga kini terdapat sejumlah 320,000 orang pembantu rumah asing - 94.8 peratus daripadanya terdiri daripada rakyat Indonesia, Filipina (6,100 orang) dan bakinya 10,000 orang dari negara-negara lain seperti Sri Lanka dan Kemboja.
Katanya, kira-kira 80 peratus daripada jumlah pembantu rumah Indonesia diambil bekerja oleh majikan berbangsa Cina.
Ujar beliau, hampir kesemua pembantu rumah itu datang dari kawasan yang terpisah dari arus pemodenan menyebabkan mereka menghadapi kejutan budaya.
Katanya, majikan pula mungkin bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan atas alasan mereka telah membayar beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan pembantu rumah menggunakan saluran yang betul.
Sehubungan itu, Raja Zulkepley meminta majikan bertolak ansur dan memberi masa kepada pembantu rumah masing-masing mengadaptasi diri dengan persekitaran bagi mengelakkan mereka merasakan seolah-olah ‘didera’ sehingga gagal memberi tumpuan kepada tugas harian.
No comments:
Post a Comment