Friday, June 22, 2007

Pembantu rumah dakwa disepak, terajang majikan





Oleh Nurhayati Abllah




KESAN DERA: Lilis menunjukkan lebam di muka dan kakinyaakibat didera majikan, semalam.

Amah Indonesia didera selepas empat bulan bekerja larikan diri

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah Indonesia terpaksa melarikan diri selepas tidak tahan didera majikannya termasuk dipaksa menyediakan sup daging babi sepanjang tempoh empat bulan bekerja di sebuah rumah di Jalan Cempaka, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, dekat sini.

Pembantu rumah yang dikenali sebagai Lilis, 27, mengambil tindakan melarikan diri pada jam 3 pagi, 15 Jun lalu, selepas dipukul serta ditumbuk majikan perempuannya.Ketua Pemuda Umno Bandar Sri Damansara, Azizi Abd Razak ketika dihubungi berkata mangsa dikatakan dipukul, diterajang dan disepak di seluruh anggota badan termasuk mengalami lebam serta luka di muka, dada dan kaki hanya kerana melakukan kesalahan kecil.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan terlewat mengejut seorang daripada tiga anak majikannya yang ingin ke sekolah sehingga menimbulkan kemarahan majikan berusia awal 40-an itu.“Selain itu, mangsa turut dimarahi dan dipukul kerana terlupa memadamkan api dapur ketika dia memasak sup daging babi,” katanya yang juga membawa mangsa ke Balai Polis Sungai Buloh untuk membuat laporan pada hari yang sama.Azizi berkata, mangsa yang kesakitan nekad melarikan diri ke rumah seorang rakannya yang terletak di kawasan berdekatan pada awal pagi untuk menyelamatkan diri serta bersembunyi.

“Bagaimanapun, rakannya mengambil inisiatif memaklumkan kejadian itu kepada saya untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.“Sebaik mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya untuk membuat laporan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan pada hari yang sama” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mazlan Mansur mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

No comments: